Krisis Negeri Sembilan: Exco kerajaan negeri gantung tugas Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang

MAJLIS Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan hari ini sebulat suara memutuskan untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengumumkan penggantungan tugas kedua-dua pegawai terbabit sebaik sahaja selesai Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri hari ini.

Bagaimanapun, status Exco Kerajaan Negeri Sembilan juga kini menjadi pertikaian selepas Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan mereka pada Ahad lalu.

“Notis penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Seterusnya, notis penggantungan Penasihat Undang-Undang Negeri akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC),” kata Ismail dalam kenyataan hari ini.

Tindakan itu diambil beberapa hari selepas pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan menyatakan pihaknya tidak akan meneruskan permohonan Menteri Besar untuk mewartakan perisytiharan didakwa berhubung pelucutan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum ini memaklumkan, pihaknya memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan berhubung permohonan Ismail selepas menerima pandangan AGC berhubung pengumuman barisan ahli Exco kerajaan negeri mengenai perisytiharan bertarikh 19 April itu.

Katanya, perkara itu telah dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan setiap tindakan mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.

Ismail turut mengesahkan bahawa semua ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan kekal memegang jawatan masing-masing, walaupun pelantikan mereka telah dibatalkan oleh Yang Dipertuan Besar.

“Pada masa yang sama, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa dan amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Pihak istana sebelum ini menyatakan pelantikan ahli Exco dibatalkan kerana mereka didapati melanggar sumpah jawatan dan sumpah setia yang diikrarkan di depan Yang Dipertuan Besar pada 7 Ogos, sebelum dilantik menganggotai Exco.

Ismail bagaimanapun mempertikaikan keputusan tersebut, menegaskan bahawa pemerintah negeri tidak boleh menamatkan tempoh perkhidmatan seseorang ahli Exco melainkan atas nasihat atau permintaan Menteri Besar.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here