KEMENTERIAN Luar mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia yang terjejas secara serius selain gangguan kecil dalam gempa bumi kuat bermagnitud 7.5 yang berlaku di luar pesisir Wilayah Iwate, utara Jepun pada petang ini.
Kementerian itu menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo memaklumkan, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan susulan kejadian gempa bumi pada jam 4.53 petang (waktu tempatan) itu.
“Kedutaan Malaysia sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Jepun serta giat menghubungi komuniti rakyat Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.
“Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan situasi ini dan akan menyalurkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa apabila maklumat disahkan,” kata kenyataan itu.
Gempa bumi kuat berukuran 7.5 pada skala Richter menggegarkan timur laut dan utara Jepun hari ini dan susulan itu amaran tsunami dikeluarkan, menurut agensi cuaca Jepun, lapor Agensi Berita Kyodo.
Pihak berkuasa Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pesisir pantai dengan jangkaan ombak setinggi sehingga tiga meter. Keadaan masih belum stabil dan pihak berkuasa tempatan sedang menilai kesan gempa bumi serta potensi risiko tsunami.
Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia di Jepun, khususnya di kawasan terjejas agar sentiasa berwaspada, segera menuju ke kawasan yang lebih tinggi sekiranya berada berhampiran pesisir pantai, serta mematuhi sepenuhnya arahan pemindahan dan panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Jepun.
Bagi memudahkan penyaluran maklumat dan bantuan konsular, kementerian itu menggalakkan rakyat Malaysia untuk mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.
Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau dalam situasi kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo melalui nombor telefon: +81-3-3476-3840 / +81-3-3476-4971 bagi pertanyaan am atau di talian kecemasan: +81-80-4322-3366 atau e-mel kepada mwtokyo@kln.gov.my / consular.tyo@kln.gov.my.


