PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada atlet karate negara Adeola Fay Robert atas kejayaan menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, hari ini.
Anwar berharap kejayaan atlet berusia 20 tahun dari Sabah itu di Gimnasium Toyohashi mampu membakar semangat seluruh kontinjen negara yang sedang menggalas cabaran pada temasya empat tahun sekali berkenaan.
“Teruskan berjuang dan harumkan nama Malaysia,” katanya menerusi laman X.
Adeola, yang membuat penampilan sulung pada Sukan Asia kali ini, merangkul emas selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 pada final acara kumite bawah 55 kilogram (kg).
Kejayaan itu meneruskan momentum positif atlet berkenaan selepas meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025, Disember tahun lepas.
Pingat emas diraih Adeola hari ini turut menamatkan penantian skuad karate wanita Malaysia untuk merangkul emas Sukan Asia sejak Syakilla Salni melakukannya pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang bermula Sabtu lepas akan berlangsung sehingga 4 Okt ini.





