POLIS menahan seorang penganggur dipercayai terlibat melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja bawah umur di Taman Bukit Kubu, Kuala Perlis pada bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek berusia 18 tahun dan berasal dari Yan, Kedah ditahan susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Kuala Perlis, semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi 29 Ogos lalu, ketika mangsa yang berusia 16 tahun dan suspek berada di rumah rakan mereka.
“Mangsa mendakwa ketika mereka berada di tepi kediaman itu, suspek didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadapnya dan kejadian itu didakwa yang pertama sebelum mangsa berpindah ke ke Sungai Korok, Kedah pada 1 September lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Yusharifuddin, mangsa akan menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar esok sementara polis berjaya mendapat perintah reman ke atas suspek selama tujuh hari bermula hari ini.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.





