Penemuan kedua guni berisi tulang manusia di Behor Mali

SATU lagi bungkusan guni berisi tulang manusia ditemukan semalam berhampiran lokasi sama penemuan pertama rangka manusia di Behor Mali, Kangar pada 26 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, penemuan baharu itu kira-kira 31.1 meter dari lokasi penemuan pertama yang dilaporkan sebelum ini.

GUNI berisi tulang dipercayai rangka manusia ditemukan di Behor Mali, Kangar semalam. GAMBAR: IPD Kangar

Bungkusan guni berkenaan ditemukan seorang peniaga lelaki berusia 61 tahun pada jam 11 pagi ketika menebas semak di tanah milik anak perempuannya yang baru dibeli kira-kira dua bulan lalu.

“Pengadu menemukan beberapa tulang yang tidak dikenal pasti dalam keadaan terburai dan terkeluar dari sebuah guni putih yang lusuh serta koyak. Guni tersebut ditemukan separuh tertimbus dalam tanah dan dilitupi semak-samun di kawasan sempadan tanah rizab Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Siasatan lanjut di lokasi kejadian turut menjumpai sehelai seluar dalam, sehelai seluar pendek yang lusuh dan koyak serta seutas tali pinggang berhampiran guni berkenaan. Polis percaya tulang dan barangan tersebut telah lama ditinggalkan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media pada 26 Julai lalu melaporkan, satu rangka disyaki tulang manusia ditemukan dalam sekarung guni di sebuah kebun berhadapan sebuah kilang beras di Kampung Behor Mali.

Pengadu memaklumkan menemukan satu bungkusan guni disyaki berisi rangka manusia yang telah reput sewaktu sedang menjalankan kerja-kerja meracun di kebunnya.

Yusharifuddin dalam pada itu berkata, kesemua barang kes sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada jam 4.30 petang semalam untuk analisis awal patologi.

“Susulan penemuan terbaharu itu, kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kes penemuan tulang pertama di lokasi berhampiran pada 26 Julai lalu juga telah diklasifikasikan semula di bawah seksyen yang sama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga supaya segera tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang ada diminta berhubung terus dengan pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, Asisten Superintenden Tengku Moh Farid Tengku Ibrahim di talian 019-993 9200.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img