PRN Melaka: PH terbuka rundingan dengan mana-mana parti

PAKATAN Harapan (PH) terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana parti, termasuk parti Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keterbukaan itu penting demi kebaikan landskap politik negara, selain menegaskan sikap menolak rundingan tidak seharusnya menjadi pendekatan dalam politik.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menugaskan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengadakan perbincangan berkaitan perkara itu.

“Saya tugaskan saudara Datuk Seri Amirudin Shari dan sekarang dia bincang. Kita ini jangan sombong. Kalau orang kata sedia bincang, kita bincang. Itu cara orang politik.

“Ada orang kata, oh ini kita tak (mahu), mana ada. Bincang permasalahannya. Setuju atau tidak setuju, itu pulang kepada jawatankuasa,” katanya kepada media ketika berada dalam kereta api laju dari Shanghai ke Hangzhou, hari ini, lapor BH.

Anwar ditanya mengenai desas-desus kemungkinan PH menjalinkan kerjasama politik dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Melaka.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat PH berhubung kerjasama dengan mana-mana parti lain, termasuk Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Anwar berkata, beliau mahu terus memberi tumpuan kepada tugas dan berkhidmat kepada negara sepanjang tempoh pentadbiran yang masih berbaki kira-kira 15 bulan, selagi diberikan kesihatan yang baik.

“Tahun yang berbaki ini harap Allah bagi sihat, saya nak teruskan bekerja,” katanya.

Anwar kini berada di China bagi menghadiri Persidangan WorldSkills 2026 Shanghai dan menyampaikan ucaptama pada sesi pleno persidangan berkenaan yang dirasmikan Perdana Menteri China, Li Qiang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here