PENGARAH Hospital Al-Awda di utara Gaza yang baru dibebaskan, Dr. Ahmed Muhanna, mendedahkan pengalaman mengerikan setelah hampir dua tahun dalam tahanan tentera Israel.
Beliau menyifatkan rejim Zionis sengaja menyasarkan petugas perubatan dan melakukan penderaan berat terhadap tahanan.
Dalam temu bual bersama rangkaian berita Al-Mayadeen, Dr. Muhanna menggambarkan tempoh penahanannya yang berlangsung selama satu tahun sepuluh bulan sebagai tempoh penuh dengan “segala bentuk penyeksaan dan pelanggaran.”
Beliau berkata tentera Israel “menyasarkan doktor secara sengaja di dalam pusat tahanan”, sambil menekankan keadaan amat kejam yang dialami semua tahanan sehingga menyebabkan syahidnya beberapa daripada mereka.
“Kami diasingkan sepenuhnya, langsung tidak tahu keadaan keluarga kami. Tentera penjajah sengaja membelenggu tangan tahanan selama berjam-jam di kawasan terbuka berpagar dawai, dalam cuaca yang amat ekstrem.”
Walaupun bergelar seorang doktor, Dr. Muhanna berkata beliau turut dipukul dan dihina berulang kali. Beliau menolak tuduhan Israel terhadap dirinya dan petugas perubatan lain sebagai “fitnah dan tidak berasas”, sambil menegaskan bahawa “hospital kami hanya merawat wanita dan kanak-kanak — tidak lebih daripada itu.”
Disebabkan ketiadaan rawatan kesihatan di penjara, Dr. Muhanna berkata beliau dan seorang jururawat yang turut ditahan menubuhkan unit rawatan kecil untuk membantu tahanan yang sakit.
Hospital Al-Awda yang terletak di Jabaliya, utara Gaza, merupakan antara kemudahan kesihatan yang cuba terus beroperasi ketika serangan besar-besaran Israel. Keteguhan itu menjadikannya sasaran utama tentera Israel.
Sepanjang dua tahun pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza, hospital itu berulang kali dibom, dikepung dan akhirnya diserbu oleh pasukan Israel. Petugas perubatan dan pesakit termasuk Dr. Muhanna telah ditahan beramai-ramai. Hospital tersebut mengalami kerosakan teruk dan sebahagian besar operasinya lumpuh.
Serangan terhadap Hospital Al-Awda merupakan sebahagian daripada pola serangan menyeluruh Israel terhadap sistem kesihatan Gaza. Sepanjang genosid tersebut, puluhan hospital termasuk Al-Shifa, Baptist dan Al-Nasser telah dimusnahkan, dibom atau dikepung sepenuhnya.
Pelanggaran yang direkodkan termasuk:
*Pembunuhan dan kecederaan ratusan doktor serta petugas perubatan akibat serangan langsung atau pengeboman hospital.
*Penahanan besar-besaran dan penderaan terhadap petugas kesihatan, termasuk tindakan menanggalkan pakaian mereka, soal siasat keras dan pemukulan.
*Kemudahan kritikal dimusnahkan, termasuk penjana kuasa, ambulans dan bekalan perubatan penting.
*Penemuan kubur besar di kawasan hospital, termasuk di Al-Shifa dan Al-Nasser, selepas operasi tentera Israel —dengan sebahagian mayat dipercayai mangsa hukuman mati.
Serangan sistematik terhadap hospital-hospital Palestin ini telah dikecam keras oleh pertubuhan hak asasi manusia dan badan perubatan antarabangsa, yang menyifatkannya sebagai pelanggaran serius undang-undang antarabangsa serta bukti jenayah perang yang selaras dengan pola genosid berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4900″]


