Harga runcit petrol, diesel diturunkan mulai esok hingga 3 Jun

HARGA runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing turun 15 sen serta 20 sen seliter, manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia turun 10 sen seliter bagi tempoh 28 Mei hingga 3 Jun ini.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit petrol RON95 turun kepada RM3.92 seliter daripada RM4.07, RON97 kepada RM4.65 daripada RM4.85 manakala diesel di Semenanjung Malaysia turun kepada RM4.87 daripada RM4.97.

GAMBAR: Facebook Kementerian Kewangan

Menurut kementerian itu, selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh berkenaan diturunkan berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu sebelumnya.

“Namun begitu, penurunan ini tidak menandakan tekanan pasaran petroleum global reda kerana ketidaktentuan pasaran susulan konflik di Asia Barat yang berlarutan lebih 12 minggu masih berterusan.

“Selain itu, kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan tempoh yang panjang untuk dipulihkan,” kata kenyataan itu.

MoF turut memaklumkan bahawa Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi memelihara kelangsungan hidup rakyat dan operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu.

Harga bersubsidi yang dikekalkan ialah RON95 menerusi BUDI95 pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan (RM2.15) manakala bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi, masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Kenyataan itu menyebut menerusi BUDI95, kerajaan terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi itu bagi lebih 14 juta penerima yang layak, dengan lebih 90 peratus daripada jumlah penggunaan bahan api berkenaan di negara ini melibatkan penerima subsidi.

“Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.92 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM784. Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung RM386 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95.

“Menerusi siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut,” katanya.

Menurut MoF, bagi mengimbangi kos sara hidup dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, kerajaan akan terus mengambil pendekatan bersasar untuk melindungi rakyat daripada turun naik harga bahan api selain memastikan bekalan negara kekal mencukupi dan terjamin.

Dalam pada itu, kerajaan menyeru rakyat mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat menerusi perancangan perjalanan lebih cekap dan mengurangkan perjalanan tidak perlu bagi membantu memastikan bekalan negara terus terjamin dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img