Malaysia-China bukan sekadar  hubungan diplomatik biasa – PM

HUBUNGAN Malaysia-China bukan sekadar hubungan diplomatik biasa, sebaliknya dibina atas kepercayaan dan keyakinan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, hubungan erat itu turut mencerminkan persamaan pandangan dalam beberapa isu, termasuk tadbir urus, kemakmuran bersama dan usaha merapatkan jurang digital.

Menurutnya, Malaysia turut melihat kepimpinan Presiden China, Xi Jinping, termasuk penekanannya terhadap dimensi etika dalam tadbir urus, sebagai antara perkara yang mempunyai persamaan dengan pendekatan Malaysia.

“Hubungan ini melangkaui hubungan diplomatik biasa. Ia dibina atas kepercayaan dan keyakinan, termasuk dalam soal kemakmuran bersama, merapatkan jurang digital serta membantu negara negara di Selatan Global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan balas terhadap ucapan alu-aluan Perdana Menteri China, Li Qiang, sebelum memulakan mesyuarat dua hala di West Lake State Guest House, Hangzhou.

Anwar berkata, hubungan erat Malaysia-China juga penting ketika dunia berdepan cabaran memastikan manfaat pembangunan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) tidak hanya dinikmati negara maju.

Katanya, pendekatan China dalam menggalakkan kemakmuran bersama dan membantu negara-negara Selatan Global, termasuk menangani jurang digital, merupakan antara aspek yang diberi perhatian Malaysia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan Malaysia menghargai komitmen China terhadap hubungan dua hala yang diasaskan atas kepercayaan.

Sementara itu, Li Qiang menyifatkan hubungan Malaysia-China sebagai antara keutamaan dalam diplomasi kejiranan Beijing.

Beliau berkata dalam suasana konflik, pergolakan dan ketidaktentuan global yang semakin meruncing, komunikasi serta penyelarasan rapat antara kedua-dua negara mampu menambah kepastian kepada pembangunan bersama.

Li Qiang turut menyifatkan lawatan negara Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu sebagai pembuka tirai “50 Tahun Keemasan” baharu hubungan Malaysia-China.

Menurutnya, China bersedia berganding bahu dengan Malaysia untuk mengukuhkan kepercayaan politik dan memperdalam pembinaan Komuniti China-Malaysia, termasuk menerusi kerjasama sains dan teknologi, perdagangan digital serta kemahiran vokasional.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here