JABATAN Kerja Raya (JKR) sedang menyiasat punca kemalangan membabitkan beberapa penunggang motosikal di Lebuhraya Persekutuan yang tular baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata bahagian permukaan berwarna di laluan motosikal tersebut sememangnya direka dan dilaksanakan sebagai kemasan anti-gelincir mengikut spesifikasi kerja yang ditetapkan.
“Banyak perkara lain yang boleh menyumbang kepada berlakunya kemalangan, bukan hanya keadaan permukaan jalan. Mungkin kenderaan dipandu agak laju atau keadaan trafik ketika itu agak sesak.
“Kita masih menyiasat apa sebenarnya yang menyumbang kepada kemalangan itu,” katanya selepas menghadiri Future-Ready Green Data Centre Simposium: Sustainable and High-Performance Engineering di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Berita RTM.
Sebagai langkah segera, Nanta berkata kerosakan turapan telah ditampal sementara, manakala papan tanda “KURANGKAN LAJU” turut dipasang di lokasi kejadian.
Selain itu, ujian skid dalam keadaan kering dan basah turut dijalankan bagi menilai serta mengesahkan prestasi permukaan turapan berkenaan.
Beliau turut menzahirkan simpati kepada mangsa yang terlibat dalam kemalangan berkenaan, khususnya mereka yang mengalami kecederaan.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 42 saat yang dimuat naik di Threads, memaparkan beberapa penunggang motosikal terjatuh ketika melalui laluan hijau yang basah di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan.





