Tertuduh kes bunuh penebar roti canai tiba-tiba menangis, prosiding ditunda

PROSIDING pertuduhan membunuh seorang wanita di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini, ditunda ke 1 Oktober selepas tertuduh, Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan, 35, tiba-tiba beremosi ketika pertuduhan dibacakan.

Tertuduh pada awalnya bersedia untuk membuat pengakuan bersalah, namun menangis dan berdiam diri di kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos.

Keadaan itu menyebabkan hakim mengarahkan prosiding ditangguhkan seketika bagi membolehkan tertuduh bertenang, lapor Harian Metro.

Prosiding kemudian bersambung semula sebelum peguam bela, Kamarudin Mohmad Chinki, memohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, memaklumkan pihak pendakwaan difahamkan tertuduh mahu mempertimbangkan semula pendiriannya atas kehendak sendiri sebelum tertuduh mengesahkan perkara berkenaan.

Kamarudin turut memaklumkan pihaknya sudah berunding dengan anak guamnya ketika berada di penjara dan mengesahkan perkara sama.

Pendakwaan kemudian memohon supaya pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan kepada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang wanita penebar roti canai, Sirlin Salleh, di kawasan semak Kampung Pisang, Lahad Datu, antara jam 6 pagi hingga 8 pagi pada 14 November 2023.

Berdasarkan fakta kes, mayat mangsa ditemukan di kawasan kebun pisang berhampiran lampu isyarat Kampung Pisang pada jam 8.26 pagi hari sama.

Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan di leher yang kemudian dikenal pasti sebagai punca kematian berdasarkan bedah siasat.

Beberapa sampel forensik diambil daripada mangsa untuk dianalisis Jabatan Kimia Malaysia, manakala hasil analisis bertarikh 2 Januari 2025 mendapati sampel darah tertuduh sepadan dengan sampel DNA yang diperoleh daripada pakaian dalam mangsa.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here