Sindiket guna kenderaan, rumah kosong simpan rokok seludup RM2.17 juta

HELAH sindiket penyeludupan menggunakan kenderaan yang diparkir di kawasan kondominium serta rumah teres tidak berpenghuni sebagai stor simpanan rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai keseluruhan RM2.17 juta terbongkar dalam tiga serbuan.

Serbuan itu dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang pada bulan lalu.

Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hasbollah Din berkata, serbuan pertama dilakukan terhadap lima kenderaan yang diparkir di sebuah kondominium di Jelutong pada 7 Ogos lalu, sebelum menemukan 339,640 batang rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup dari negara jiran.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia lingkungan 70-an turut ditahan kira-kira jam 6.40 petang ketika sedang memunggah kotak mengandungi rokok seludup berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan yang sudah lama tidak digunakan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan diparkir di kondominium yang dikawal pengawal keselamatan,” katanya pada sidang media di Butterworth, hari ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, rampasan pertama itu membabitkan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai sebanyak RM590,959.

Susulan itu, katanya, pihaknya menyerbu sebuah rumah teres tidak berpenghuni di sebuah taman perumahan di Nibong Tebal pada 14 Ogos lalu dan merampas 115,340 batang rokok serta 632.52 liter minuman keras tidak berkastam yang dianggarkan bernilai RM147,567.55.

“Serbuan seterusnya dilakukan di sebuah lagi rumah teres tidak berpenghuni di Bukit Mertajam dan merampas 1,337,520 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM1.4 juta dalam premis kosong yang dipercayai disewa itu,” katanya.

Hasbollah berkata, semua barangan disyaki tidak berkastam itu dipercayai disimpan di lokasi berkenaan sebelum diedarkan atau dijual untuk pasaran tempatan.

“Tindakan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan, pemilik serta rangkaian pengedaran barang berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here