Rais Yatim mengaku tidak bersalah keluarkan kenyataan berunsur hasutan

BEKAS Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948.

Beliau yang berusia 84 tahun memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, Rais didakwa menyebut perkataan berunsur hasutan dalam satu kenyataan di sebuah hotel di Alor Gajah pada 5 Jun lalu.

“Mendoakan selamat kepada Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12. Jadi, selepas ini, bebaslah, yang, Duli Maha Mulia, Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Ke-12, melakukan apa saja hal-hal kedirajaan.

“Dan seruan kami ialah tumpukanlah taat setia kepadanya, oleh kerana kita mengikut lunas undang-undang dan juga lunas adat yang ada di Negeri Sembilan,” katanya mengikut pertuduhan itu.

Pengerusi Parti Wawasan Negara itu didakwa mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, barisan peguam bela mewakili Rais memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guam mereka memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Menurut peguam, tertuduh tetap hadir ke mahkamah walaupun hanya dimaklumkan mengenai pertuduhan berkenaan pada jam 10.30 malam sebelumnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, Rais tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.40 pagi dengan diiringi Puan Seri Masnah Muhamat serta anaknya, Danni Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here