BEKAS Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima kos pengubahsuaian sebuah rumah bernilai RM8,882.77.
Adi Azuan, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu COO TH didakwa menerima benda berharga berupa kos pengubahsuaian rumah di Jalan Tanjung SD 13/4, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur daripada Pengarah AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail.
Kos pengubahsuaian rumah itu berjumlah RM8,882.77 dan Adi Azuan didakwa mengetahui Thamsulazri mempunyai kaitan dengan urusan yang dijalankannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 7 Mac 2017 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irna Julieza Maaras memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama tiga pertuduhan dihadapi Adi Azuan di mahkamah itu semalam.
Irna Julieza berkata, permohonan itu dibuat kerana kes berkenaan membabitkan saksi, syarikat dan kertas siasatan sama dengan kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Adi mengesahkan dan tidak membantah permohonan itu, dan mahkamah kemudian membenarkan pemindahan kes itu ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Mahkamah turut memerintahkan syarat jaminan ditetapkan dalam kes Shah Alam termasuk RM50,000 dengan dua penjamin, turut terpakai bagi kes di Kuala Lumpur.
Antara syarat itu adalah Adi Azuan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di ibu pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali.
Kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam ditetapkan untuk sebutan bagi penyerahan dokumen pada 25 November 2026.
Semalam, Adi Azuan turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan berasingan menerima kos pengubahsuaian tiga rumah berjumlah RM302,499.27 pada 2017.
Ketiga-tiga pertuduhan itu juga dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.





