SETIAP dasar awam yang digubal kerajaan perlu disokong oleh penyelidikan berkualiti tinggi, data yang sah serta analisis terperinci demi menjamin kesejahteraan rakyat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman menegaskan, pendekatan berasaskan bukti (evidence-based policy) kini semakin menjadi amalan standard di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, kajian ilmiah sangat kritikal dalam mengesan kelemahan sistem pentadbiran dan menilai risiko penyelewengan.
“Di dalam konteks yang sama penyelidikan adalah penting untuk mengenal pasti kelemahan sistem, menilai risiko, mengukur keberkesanan dasar serta mencadangkan penambahbaikan yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Penyelidikan Tata Kelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya hari ini.
Menurut Abd Halim, pendekatan itu amat bertepatan dalam usaha merealisasikan wawasan Malaysia MADANI demi memastikan keputusan yang dibuat memberi faedah menyeluruh.
“Seterusnya dalam usaha merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI, pembentukan dasar awam perlu diperkukuhkan melalui penyelidikan yang berkualiti, data yang sahih dan analisis yang menyeluruh agar setiap keputusan yang dicapai benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya,” jelas beliau.
Tambahnya, sebanyak 50 tajuk penyelidikan berkaitan integriti dan pembanterasan rasuah telah dilaksanakan oleh entiti penyelidik tempatan bagi tempoh 2020 hingga 2025.
Inisiatif kajian berkenaan, katanya, dijayakan menerusi peruntukan geran di bawah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).
Menurutnya lagi, dapatan kajian tersebut bukan sahaja memperkaya wacana akademik, malah membantu kerajaan serta pemegang taruh mengenalpasti isu rasuah dan merangka langkah penambahbaikan yang berkesan.





