SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyambung semula rakaman percakapan Datuk Seri Mohd Isa Abdul Samad selepas bekas Pengerusi Felda itu pulih daripada pembedahan mata.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, Mohd Isa yang kini menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh sedang dirawat di Hospital Serdang selepas menjalani pembedahan berkenaan.
Menurut beliau, proses mendapatkan keterangan daripada ahli politik veteran itu penting bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan Felda.
“Berhubung keterangan Isa, kita terpaksa ‘hold’ dahulu kerana sepatutnya ia (keterangan) diambil semalam dan hari ini tetapi memandangkan beliau tak sihat, dihantar ke Hospital Serdang untuk menjalani pembedahan mata, maka kita tangguhkan dulu.
“Kita akan rakam semula percakapan beliau selepas mendapat maklumat (status kesihatan) daripada Jabatan Penjara.
“Apabila sudah sihat, maka kita akan sambung perakaman kenyataan itu. Banyak lagi nak dirakamkan daripada beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Penutupan Persidangan Penyelidikan Tata Kelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
SPRM sebelum ini mengesahkan telah merakam keterangan Mohd Isa di Penjara Sungai Buloh pada 17 September lalu, bagi membantu siasatan kes Op Fella.
Keterangan itu berkaitan isu pembelian dan pelaburan aset oleh Felda serta Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) yang disyaki terdapat unsur rasuah dan penyelewengan.
Beliau berkata, siasatan berkenaan meliputi tempoh 10 tahun iaitu dari 2010 hingga 2020, dengan sebanyak enam kertas siasatan baharu dibuka manakala satu lagi kertas siasatan lama diteruskan.





