MENTERI Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, hari ini melawat Klinik Kesihatan Padang Besar, Perlis bagi meninjau perkembangan inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam satu kenyataan memberitahu, kerjasama rentas kementerian antara Kementerian Komunikasi melalui MCMC dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu dapat memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta ketersambungan digital dan teknologi lebih bersepadu.
‘’Fahmi telah diberikan taklimat mengenai pelaksanaan inisiatif tersebut serta demonstrasi penyelesaian digital yang menyokong ekosistem kesihatan negara, termasuk penggunaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan aplikasi ketersambungan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan,’’ kata MCMC.
Menurut MCMC, PERSADA merangkumi usaha memperkukuh ketersambungan di klinik kesihatan dan hospital di seluruh negara, menyokong pelaksanaan EMR serta meneroka penggunaan teknologi baharu bagi memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan.
‘’Melalui PERSADA, ketersambungan yang diperkukuh akan menyokong perkongsian maklumat kesihatan yang lebih lancar serta menjadi asas kepada pelaksanaan aspirasi “Satu Individu, Satu Rekod Kesihatan”,’’ kata kenyataan tersebut.
MCMC memberitahu, rekod kesihatan pesakit dapat menyokong kesinambungan rawatan apabila mendapatkan perkhidmatan di fasiliti atau lokasi yang berbeza, sekali gus mewujudkan pengalaman rawatan yang lebih lancar dan teratur serta membantu mengurangkan tempoh menunggu.
‘’Majoriti pesakit juga bakal menerima rawatan dalam tempoh kurang daripada satu jam apabila dilaksanakan kelak. Ogos lalu, PERSADA menerima peruntukan sebanyak RM1 bilion, termasuk tambahan peruntukan RM350 juta yang diumumkan kerajaan bagi memperkukuh ketersambungan, sistem digital dan infrastruktur sokongan untuk rangkaian kesihatan awam negara,’’ kata MCMC.





