Lebih 200,000 pesakit di Perlis dapat manfaat projek rintis EMR inisiatif PERSADA

PELAKSANAAN projek rintis sistem pengurusan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) menerusi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) di fasiliti kesihatan di Perlis, memberikan impak positif dari segi masa menunggu pesakit.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata projek yang dilaksanakan di negeri itu sejak empat bulan lepas menunjukkan, lebih 86 peratus pesakit dapat bertemu dengan doktor dalam tempoh kurang 60 minit manakala 62.8 peratus pesakit boleh berbuat demikian kurang 30 minit.

“Ia berjaya memanfaatkan lebih 200,000 pesakit di Perlis. Saya juga menerima beberapa maklum balas tentang sistem dan menyampaikan beberapa cadangan, untuk memastikan sistem ini selamat digunakan, mudah untuk para pekerja Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau projek PERSADA di Klinik Kesihatan Padang Besar hari ini,.

Fahmi berkata menerusi projek itu, doktor tidak perlu lagi menunggu kad sejarah kesihatan pesakit secara manual, dengan kesemua maklumat berkaitan telah tersedia dalam bentuk yang lebih mudah untuk semakan doktor menerusi sistem berkenaan.

“Saya lihat sendiri memang doktor-doktor memaklumkan ini memudahkan kerja mereka dan mengurangkan masa untuk menunggu rekod datang kepada mereka, disimpan dalam cloud based data, yang lebih selamat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Fahmi berkata kementeriannya berhasrat untuk memperluas penggunaan sistem itu untuk manfaat negeri lain, namun akan meneliti beberapa aspek terlebih dahulu termasuk kemudahan Internet, bagi memastikan sistem itu dapat digunakan dengan lebih cekap dan berkesan.

“Saya lihat ia dapat dimanfaatkan di negeri lain, kita akan meneliti beberapa aspek, kerana isu dihadapi mungkin sesetengah negeri, ada klinik kesihatan Internet belum lagi pantas, saya dimaklumkan keperluan Internet untuk sistem ini sekurang-kurangnya 100mbps,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata MCMC mengintegrasikan perkhidmatan telekesihatan melalui 17 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Perlis, yang membolehkan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan tertentu termasuk saringan kesihatan di pusat NADI, tanpa perlu ke klinik kesihatan.

“Kita akan memperlihatkan kerjasama lebih erat antara NADI di bawah MCMC dan klinik kesihatan serta klinik desa bukan sahaja di Perlis, tetapi seluruh negara untuk memudahkan pesakit mendapatkan rawatan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here