Terlanggar lembu sebelum tercampak, penunggang motosikal maut digilis

SEORANG pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar seekor lembu sebelum dia tercampak ke atas jalan dan digilis kenderaan lain di Jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran Masjid Kampung Chendor di Cherating, awal pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa yang berusia 23 tahun menunggang motosikal Yamaha 135LC dipercayai dalam perjalanan dari Cherating menghala ke Kampung Geliga di Kemaman, Terengganu.

MOTOSIKAL jenis Yamaha 135LC ditunggang seorang pemuda yang maut akibat digilis sebuah kenderaan di Jalan Kuantan-Kemaman di Cherating awal pagi tadi. GAMBAR: IPD Kuantan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati haiwan berkenaan tiba-tiba melintas jalan dari arah kiri ke kanan ketika mangsa melalui lokasi terbabit.

“Mangsa yang kebetulan sedang melalui laluan berkenaan tidak sempat mengelak lalu terlanggar haiwan berkenaan sehingga tercampak ke atas jalan.

“Mangsa kemudiannya disyaki digilis kenderaan lain yang masih belum dikenal pasti,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menurut Ashari, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ashari turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan supaya tampil membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) ketika kejadian juga diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 011-3045 1140 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here