SEORANG wanita maut selepas Perodua Axia yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori 10 tan di Felda Chiku 3 hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa tersepit di dalam kenderaan yang remuk sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang penumpang yang berada di bahagian hadapan kereta turut mengalami kecederaan manakala pemandu dan kelindan lori tidak mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu itu pada jam 12.52 tengah hari.
Beliau berkata, sepasukan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 42 kilometer dari BBP Gua Musang sebaik menerima maklumat.
“Anggota bomba menggunakan peralatan bateri power cutter bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis, manakala mangsa yang cedera dibawa anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan awal,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Operasi menyelamat itu membabitkan sembilan anggota BBP Gua Musang bersama sebuah jentera dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo turut mengesahkan kejadian berkenaan.





