WARGA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan digesa mengamalkan pendekatan diplomasi dan berhemah ketika menjalankan tugas penguatkuasaan, khususnya dalam membanteras jenayah kolar putih.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pendekatan berkenaan perlu disertai ketegasan serta kebijaksanaan supaya setiap operasi dan siasatan dapat menghasilkan impak tinggi tanpa menjejaskan prinsip profesionalisme dan integriti.

Beliau berkata, keberkesanan penguatkuasaan tidak semestinya bergantung kepada tindakan drastik, sebaliknya memerlukan kekuatan risikan, analisis yang tepat serta strategi berorientasikan hasil.
“SPRM tidak berkompromi dengan mana-mana rantaian sindiket yang mengaut keuntungan haram daripada hak rakyat,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke SPRM Kelantan di Kompleks SPRM Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff; Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Kelantan, Najwa Mohd Sabry dan Ketua Cawangan SPRM Gua Musang, Khairul Anuwar Kamarul Zaman.
Abd Halim turut mengingatkan pegawai supaya terus berpegang kepada prinsip integriti dan melaksanakan tugas tanpa berpihak.
Dalam lawatan berkenaan, beliau menggariskan empat bidang yang perlu diberikan perhatian, termasuk menangani penyelewengan subsidi diesel dan isu berkaitan ekosistem nelayan, memastikan kelestarian alam sekitar, memperkukuh tata kelola pentadbiran tempatan serta memperluas strategi pencegahan menerusi pendekatan kreatif.
Menurutnya, kedudukan Kelantan yang mempunyai kawasan sempadan dan pesisir pantai memerlukan pengawasan lebih menyeluruh bagi mengekang penyelewengan subsidi komoditi, khususnya bahan api diesel.
Beliau turut mahu tindakan penguatkuasaan dipertingkat terhadap aktiviti penerokaan tanah, pembalakan dan perlombongan haram yang boleh menjejaskan khazanah alam negeri.
“Pada masa sama, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di peringkat daerah dan agensi negeri perlu dipantau secara ketat bagi menutup rapat ruang salah guna kuasa, termasuk penyelewengan lesen perniagaan kepada warga asing,” katanya.
Dalam aspek pencegahan, Cawangan Pendidikan Masyarakat (PenMas) pula disaran memperbanyakkan program berbentuk dialog dan forum bersama masyarakat.
Pendekatan yang lebih mesra komuniti dan kreatif juga perlu diperkasakan bagi meningkatkan penglibatan masyarakat, terutama golongan muda dalam usaha pencegahan rasuah.
Dalam amanatnya, Abd Halim turut menyentuh aspirasi untuk memperkukuh kedudukan SPRM sebagai sebuah suruhanjaya perkhidmatan yang bebas, termasuk dalam aspek kebajikan warga kerjanya.
Beliau pada masa sama menyampaikan penghargaan kepada Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff yang bakal menamatkan perkhidmatan berikutan persaraan wajib pada 28 September ini (esok).
Abd Halim menyifatkan Azmin sebagai pemimpin yang jujur, cekap, amanah dan berdedikasi sepanjang menerajui SPRM Kelantan.
Lawatan kerja itu turut melibatkan tinjauan ke beberapa fasiliti SPRM Kelantan termasuk lokap, Bilik Gambar dan Simpanan Barang Orang Kena Tangkap (OKT) serta Bilik Merekod Pernyataan (VIR).





