SEBANYAK 101.66 juta panggilan penipuan atau spoof call berjaya disekat antara Februari hingga Ogos menerusi kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan syarikat telekomunikasi tempatan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pelaksanaan sistem Inter-operator Spoofing Gateway sejak awal tahun ini menunjukkan keberkesanan apabila jumlah panggilan mencurigakan berkenaan menurun dengan ketara pada Julai dan Ogos.
Menurutnya, sistem itu direka untuk mengenal pasti panggilan daripada sindiket penipuan luar negara yang menggunakan teknologi spoofing bagi memalsukan nombor telefon supaya kelihatan seperti panggilan daripada nombor tempatan.
“Melalui inisiatif ini, syarikat telekomunikasi berkongsi maklumat bagi menyemak status sebenar pemilik nombor telefon berkenaan sama ada berada di luar negara atau tidak.
“Sekiranya tidak, panggilan itu disahkan sebagai spoof call dan disekat serta-merta,” katanya ketika ditemui pada program Tonton Wayang Bersama Ahli Parlimen Kulai di sebuah pusat beli-belah di Kulai, hari ini, lapor Bernama.
Nie Ching berkata, berdasarkan rekod bulanan, sebanyak 28.92 juta panggilan disekat pada Februari, diikuti 19.51 juta pada Mac, 17.12 juta pada April, 20.91 juta pada Mei dan 13.11 juta pada Jun.
Jumlah itu kemudian menunjukkan penurunan ketara apabila kira-kira 2.4 juta panggilan disekat masing-masing pada Julai dan Ogos, kata beliau.
Sistem Inter-operator Spoofing Gateway membolehkan syarikat telekomunikasi melakukan semakan terhadap nombor mudah alih Malaysia yang masuk menerusi rangkaian antarabangsa.
Langkah berkenaan bertujuan memastikan hanya panggilan perayauan (roaming) yang sah dibenarkan untuk disambungkan kepada pengguna.
Dalam perkembangan lain, Nie Ching berkata, MCMC dijadual mengadakan mesyuarat secara dalam talian dengan syarikat Meta esok bagi membincangkan isu akaun WhatsApp yang dilaporkan digodam dan disekat.
Katanya, MCMC turut akan menilai tahap pematuhan Meta terhadap Kod Mitigasi Risiko yang diterbitkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian.
“Keputusan dan tindakan lanjut berhubung isu akaun WhatsApp bergantung kepada hasil dapatan mesyuarat itu kelak,” katanya.





