SEORANG lelaki bertindak memecut keretanya selepas dihampiri tiga lelaki tidak dikenali sebelum terbabit dalam kemalangan apabila melanggar beberapa kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di Pangsapuri Seri Intan, Jalan Lembah Jaya di Ampang semalam.
Kejadian berlaku sebaik sahaja mangsa baru menghantar seorang rakan wanita pulang ke rumah selepas mereka mengikuti aktiviti mendaki Bukit Melati di Nilai, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, mangsa dihampiri tiga lelaki dan salah seorang daripada mereka mengetuk cermin pemandu meminta mangsa keluar dari kenderaan.
“Kerana takut, mangsa bertindak memecut kenderaannya, manakala tiga lelaki terbabit mengejar sebelum kenderaan dipandu lelaki itu melanggar beberapa kenderaan yang diparkir di bahu jalan.
“Tiga lelaki terbabit kemudian menahan kenderaan berkenaan sebelum memukul mangsa di hadapan Apartmen Orkid sehingga kejadian itu tular dalam media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Anuar berkata, polis masih menyiasat tujuan tiga lelaki terbabit menghampiri dan mengetuk cermin kereta mangsa.
Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 427, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Sebelum ini, tular satu video berdurasi 43 saat dalam media sosial memaparkan sebuah kereta yang mengalami kerosakan dengan cermin penumpang belakang pecah, selain beberapa lelaki dilihat menahan kenderaan terbabit.





