Banjir di Bangkok: Rakyat Malaysia disaran terus berhubung dengan Kedutaan

RAKYAT Malaysia di Bangkok disaran supaya terus berhubung dengan Kedutaan Malaysia di bandar raya itu bagi mendapatkan bantuan dan maklumat terkini susulan banjir besar yang menjejaskan beberapa daerah serta laluan pengangkutan utama di ibu negara itu.

Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bahawa beberapa rakyat Malaysia terjejas akibat banjir, dengan Kedutaan Malaysia di Bangkok menghulurkan sokongan serta bantuan yang diperlukan kepada mereka.

Kementerian itu menyeru rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia lain yang mungkin terjejas akibat banjir supaya menghubungi Kedutaan Malaysia di Bangkok menerusi talian +66 2 340 5720, +66 2 340 5731 atau +66 87 028 4659, atau e-mel mwbangkok@kln.gov.my.

KLN turut mendesak rakyat Malaysia yang masih belum berbuat demikian supaya mendaftarkan kehadiran mereka di Thailand menerusi sistem e-Konsular.

“Kedutaan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau keadaan,” menurut kementerian itu.

Rakyat Malaysia yang melawat atau menetap di Bangkok turut dinasihatkan supaya berhati-hati, terus berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi juga dinasihatkan supaya memberikan masa tambahan untuk perjalanan mereka dan tiba lebih awal daripada jadual berlepas, kerana laluan akses mungkin mengalami kelewatan,” menurut kenyataan itu.

Hujan lebat berterusan sejak Khamis menyebabkan banjir di semua 50 daerah di Bangkok, menurut laporan Bernama.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here