KERAJAAN Negeri Sembilan mesti berjalan seperti biasa untuk kesejahteraan dan keutamaan bagi kepentingan rakyat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkara itu mesti diberi tumpuan oleh kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
“Memang ada perkara berkaitan dengan kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan dibincangkan dalam perbincangan tadi.
“Intipati kepada perbincangan ialah kerajaan negeri Negeri Sembilan mesti berjalan seperti biasa untuk kesejahteraan dan keutamaan bagi kepentingan rakyat,” katanya, lapor BH.
Jalaluddin antara 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan yang mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kemelut politik di negeri itu yang berlangsung di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn di ibu negara malam ini yang selesai sekitar jam 11 malam tadi.
Mesyuarat khas yang berlangsung hampir tiga jam, bermula jam 8 malam hingga 11 malam itu, dipengerusikan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut berkenaan.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN akan mengadakan mesyuarat dengan 25 ADUN Negeri Sembilan daripada BN, Pas dan Parti Wawasan Negara di ibu pejabat UMNO malam tadi.
Beliau berkata, mesyuarat itu bertujuan mengkoordinasikan usaha bagi mencari penyelesaian terbaik tanpa mencampuri urusan pentadbiran negeri.





