ASEAN perlu memperkukuh hubungan dan kesalinghubungan antara negara anggota secara berperingkat bagi mewujudkan rantau yang lebih terbuka serta bersepadu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia melihat kemungkinan ASEAN bergerak ke arah rantau yang lebih bebas dalam tempoh 10 hingga 12 tahun akan datang, termasuk meneroka konsep pergerakan rakyat yang lebih mudah antara negara anggota seperti diamalkan Kesatuan Eropah (EU).

“Kesalinghubungan di antara negara-negara ASEAN ini perlu berkesan,” katanya ketika sesi soal jawab pada majlis ramah mesra bersama Diaspora Malaysia di New York pada Sabtu lalu, lapor Bernama.
Mohamad berkata, matlamat itu bagaimanapun tidak boleh dicapai dalam tempoh singkat berikutan perbezaan dasar dan perundangan setiap negara anggota.
Namun katanya, perbezaan berkenaan tidak seharusnya menghalang ASEAN daripada merancang ke arah visi tersebut melalui proses jangka panjang dan perubahan yang dilaksanakan secara berperingkat.
Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan Malaysia membuat persediaan awal, khususnya dari aspek pendidikan, bagi memastikan generasi muda mampu berdepan persaingan lebih luas apabila ASEAN menjadi lebih terbuka.
“Apakah kita telah bersedia ataupun kita telah menyediakan anak-anak Malaysia untuk bersaing dengan anak-anak daripada Singapura, Thailand, Filipina dan negara-negara ASEAN lain?,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, ASEAN perlu terus memainkan peranan sebagai kuasa pertengahan dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.
Menurutnya, pandangan ASEAN semakin diberi perhatian masyarakat antarabangsa berikutan kedudukannya sebagai blok yang kukuh, selain berupaya mengemukakan pendirian bersama dalam isu global.
Beliau berkata, potensi ekonomi yang besar turut mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai antara suara penting dalam landskap antarabangsa.





