Sultan Pahang, Tengku Ampuan beri penghormatan terakhir buat Dr Siti Hasmah

SULTAN Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Baginda berdua berangkat ke kediaman keluarga Allahyarham di The Mines, Seri Kembangan kira-kira jam 2 petang tadi.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Perdana Menteri,  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Kehadiran mereka menyusuli beberapa tokoh politik dan personaliti yang hadir sejak pagi tadi untuk menziarahi keluarga serta memberi penghormatan terakhir kepada isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Allahyarham Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi tadi pada usia 100 tahun.

Solat jenazah akan diadakan selepas Asar di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur. Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Dr Siti Hasmah akan diberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here