BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi penghormatan buat isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pagi ini.
Menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya, Dr Mahathir memuat naik gambar Allahyarham bersama ungkapan “Innalillahi wa inna ilaihi raji’un”.
Gambar berkenaan turut memaparkan tarikh kelahiran Allahyarham iaitu 12 Julai 1926 hingga 28 September 2026, selain doa agar Allah SWT mengampuni, merahmati, menyejahterakan dan memaafkan Allahyarham.
Pemergian Dr Hasmah pada jam 9.20 pagi disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Allahyarham berkahwin dengan Dr Mahathir pada 1956 dan dikurniakan empat anak kandung, Marina, Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz, selain mempunyai tiga anak angkat iaitu Melinda, Mazhar dan Maizura.
Pemergian Allahyarham turut mendapat perhatian Istana Negara apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga serta mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.




