Penarafan Malaysia kekal A-, S&P yakin ekonomi terus berdaya tahan

MALAYSIA terus mengekalkan kedudukannya pada tahap penarafan kredit berdaulat ‘A-’ selepas S&P Global Ratings (S&P) mengekalkan penarafan negara itu dengan tinjauan stabil.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengekalan tersebut mencerminkan keyakinan terhadap daya tahan serta kepelbagaian ekonomi Malaysia, momentum pertumbuhan yang berterusan dan usaha konsolidasi fiskal yang dilaksanakan secara berperingkat.

Selain itu, kata MoF, kedudukan luaran negara yang kukuh serta fleksibiliti dasar monetari turut menjadi antara faktor yang menyokong penilaian berkenaan.

Menurut kementerian itu lagi, tinjauan stabil S&P menunjukkan jangkaan bahawa pertumbuhan ekonomi dan persekitaran dasar semasa akan terus membantu Malaysia mengekalkan prestasi fiskal yang stabil dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

S&P mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.5 peratus pada 2026, selepas mencatat pertumbuhan 5.2 peratus pada 2025 dan 5.7 peratus tahun ke tahun bagi separuh pertama 2026.

“S&P mengunjurkan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 5.0 peratus bagi tempoh 2026–2029 dan purata pertumbuhan KDNK benar per kapita wajaran 10 tahun Malaysia pada 3.7 peratus, lebih tinggi daripada median global berbanding negara pada tahap pendapatan yang setara.

“Ini mencerminkan keyakinan dan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kekuatan dan daya tahan ekonomi Malaysia,” kata kenyataan MoF.

Dalam pada itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah melaksanakan pembaharuan secara berperingkat dan tersusun sejak peluncuran Ekonomi MADANI.

“Tuntutan memperkukuh asas fiskal bukanlah alasan untuk membelakangkan keperluan mengekalkan pertumbuhan, apatah lagi melindungi rakyat daripada gejolak luaran.

“Penilaian S&P ini menggalakkan. Pertumbuhan per kapita Malaysia kekal kukuh berbanding negara setara, meskipun berdepan persekitaran global yang semakin mencabar. Pada masa sama, kita terus melindungi rakyat daripada tekanan inflasi luaran,” katanya.

Pengekalan penarafan itu turut dipengaruhi perkembangan positif dalam sektor ekonomi utama, termasuk peningkatan penghantaran produk elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor yang mendapat manfaat daripada kitaran pelaburan global berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Pertumbuhan eksport tenaga serta penggunaan isi rumah yang terus memberangsangkan turut menyokong perkembangan ekonomi negara.

S&P berpandangan ekosistem E&E Malaysia yang telah matang, selain pelaksanaan inisiatif seperti kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), berpotensi menyokong pengembangan ekonomi untuk tempoh jangka panjang.

Malaysia juga dilihat semakin menonjol sebagai destinasi pelaburan pusat data di Asia Tenggara, dengan jumlah pelaburan terkumpul dianggarkan mencecah RM386 bilion antara 2021 hingga pertengahan 2026.

Dalam aspek fiskal, S&P mengiktiraf kemajuan konsolidasi kewangan negara apabila defisit fiskal berjaya dikurangkan daripada 6.4 peratus daripada KDNK pada 2021 kepada 3.7 peratus pada 2025.

Menurut Anwar, usaha memperkukuh kedudukan fiskal akan diteruskan menerusi peningkatan hasil, penetapan keutamaan perbelanjaan serta pelaksanaan subsidi yang lebih bersasar, tanpa mengabaikan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) pula menjadi asas kepada pengukuhan tadbir urus fiskal, ketelusan dan pengurusan risiko negara.

Menurut S&P, akta berkenaan yang mendapat sokongan dwipartisan akan terus menjadi panduan dalam membentuk kerangka fiskal jangka sederhana Malaysia.

Dari sudut luaran, kedudukan negara kekal disokong asas eksport yang kukuh dan pelbagai serta rekod lebihan akaun semasa yang telah dicatat selama lebih dua dekad.

S&P mengunjurkan lebihan akaun semasa Malaysia berada pada sekitar 1.8 peratus daripada KDNK dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Agensi itu turut menilai Bank Negara Malaysia sebagai institusi yang mempunyai tahap kebebasan tinggi dan kredibiliti dasar monetari yang kukuh, dengan kadar inflasi dijangka kekal stabil.

Kerajaan selepas ini akan meneruskan agenda reformasi menerusi kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) 2026-2030, dengan tumpuan diberikan kepada kemampanan fiskal, peningkatan produktiviti dan daya saing negara.

Anwar berkata, cabaran seterusnya adalah memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang yang lebih luas serta taraf hidup lebih baik untuk rakyat.

“Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober akan memperkenalkan langkah seterusnya untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here