PMKS dikecualikan daripada kenaikan gaji minimum baharu buat masa ini

PERUSAHAAN mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dikecualikan daripada pelaksanaan kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini, susulan keputusan Jemaah Menteri dalam mesyuarat hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan sebaliknya akan menggunakan pendekatan lain bagi membantu meningkatkan pendapatan pekerja dalam sektor berkenaan.

Menurut beliau, antara langkah yang akan digunakan ialah sokongan subsidi gaji menerusi Dasar Gaji Progresif bagi memastikan peningkatan gaji bergerak seiring dengan pertumbuhan produktiviti.

“Saya membangkitkan isu gaji minimum dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. Kabinet bersetuju bahawa gaji rakyat perlu terus ditingkatkan.

“Namun, kita juga perlu melindungi perniagaan tempatan, khususnya PMKS yang sedang berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir dilaporkan berkata, keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kelangsungan majikan, khususnya PMKS, perlu diberi perhatian dalam cadangan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM2,000.

Bagaimanapun, beliau berkata pengumuman rasmi berhubung perkara itu akan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2027 bulan depan.

Dalam pada itu, Steven berkata, kerajaan kekal dengan matlamat untuk memastikan kebajikan pekerja terbela menerusi pemberian gaji yang lebih wajar di samping memastikan PMKS terus berdaya saing.

“Matlamat kerajaan adalah jelas iaitu membela kebajikan pekerja dengan gaji yang lebih wajar, sementara PMKS kekal berdaya saing untuk terus berkembang dan menjana peluang pekerjaan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here