Negara perlu generasi muda berilmu, bersemangat pacu pembangunan negara – PM

NEGARA memerlukan generasi muda yang mempunyai kekuatan semangat, kefahaman dan ilmu untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab besar dalam memacu pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bakat dan ciri kepimpinan belia seperti itu amat penting dalam mendepani pelbagai cabaran serta dinamika tadbir urus negara yang bersifat kompleks dan rencam.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Bila saudara (peserta) duduk di sini (dalam perkhidmatan awam), saudara akan lihat bagaimana rencam, bagaimana rumit permasalahan yang kita hadapi.

“Pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai wilayah, pelbagai kelompok yang menuntut sebaik mungkin daripada kita. Tetapi insya-Allah, kita dapat lakukan dengan sebaiknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peserta Program MADANI Fellowship 2026 di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta barisan menteri Kabinet.

Sebanyak 76 belia berusia antara 23 hingga 29 tahun terpilih menyertai program empat bulan itu dengan penempatan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan bagi memberikan pendedahan secara langsung mengenai dasar serta sistem pentadbiran negara.

Program MADANI Fellowship yang dijenamakan semula daripada Felo Perdana susulan keputusan Jemaah Menteri pada 26 Jun lalu, ialah inisiatif pembangunan kepimpinan belia berkonsepkan mentor menti bersama barisan kepimpinan tertinggi negara dalam memahami selok-belok tadbir urus awam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pendedahan secara terus kepada jentera pentadbiran berupaya memberikan kefahaman holistik berhubung landskap tadbir urus yang perlu mengimbangi kepelbagaian latar belakang masyarakat, wilayah serta tuntutan rakyat.

“Anak-anak akan berjumpa dengan mentor-mentor dalam kalangan menteri, yang tentunya akan sangat sibuk. Tetapi saya percaya anda boleh, tapi yang penting itu ialah peluang dan kesempatan supaya anak-anak boleh bersama melihat program kementerian, jabatan, perbahasan di Parlimen,” katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun kebanyakan peserta ditugaskan di kementerian khusus, pemahaman mereka terhadap jentera pentadbiran tidak seharusnya terhad kepada kementerian berkenaan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi skop yang lebih meluas.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here