DATUK Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, petang tadi yang antara lain membincangkan perkembangan rundingan damai dan pergolakan di Asia Barat.
Perdana Menteri berkata, perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta usaha meredakan ketegangan yang membabitkan Iran.
Menurut beliau, Malaysia dan Qatar mempunyai pendirian yang sama bahawa konflik perlu dihentikan, manakala bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas perlu disegerakan.
“Kami senada bahawa perang mesti dihentikan, bantuan kemanusiaan disegerakan dan segala ikhtiar damai diperkukuh demi menghentikan penderitaan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Anwar berkata, Malaysia akan terus menyokong usaha diplomatik bersama Qatar dan negara serantau lain bagi membantu mewujudkan keamanan yang berkekalan di rantau berkenaan.
Dalam perbualan sama, Sheikh Tamim turut menyampaikan ucapan takziah kepada Anwar atas pemergian abangnya, Allahyarham Idrus Ibrahim.
Menurut Anwar, Amir Qatar itu turut menitipkan salam takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Dalam pada itu, Anwar menzahirkan harapan supaya hubungan Malaysia-Qatar terus diperkukuh, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas undangan Sheikha Moza untuk isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menghadiri Sidang Kemuncak Inovasi Dunia untuk Kesihatan (WISH).





