Harga RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel turun mulai esok

PENGGUNA akan menikmati penurunan harga runcit bahan api tanpa subsidi mulai esok apabila harga RON97 dan RON95 masing-masing turun lima sen seliter, manakala diesel pula turun 15 sen.

Bagi tempoh 1 hingga 7 Oktober 2026, harga baharu RON97 ditetapkan pada RM5 seliter, RON95 tanpa subsidi RM4.52 seliter dan diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan, perubahan itu antara lain dipengaruhi penyederhanaan purata harga minyak mentah dunia dalam tempoh pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Keadaan itu susulan penyambungan semula operasi saluran paip East-West Arab Saudi, selain peningkatan bekalan produk petroleum bertapis di rantau Asia,” kata kenyataan MoF hari ini.

Menurut kementerian itu, eksport produk petroleum bertapis China pada September dianggarkan melebihi empat juta tan, berbanding purata kira-kira tiga juta tan sebulan pada 2025.

Peningkatan bekalan berkenaan membantu mengurangkan sebahagian tekanan terhadap harga produk petroleum di pasaran serantau.

Bagaimanapun, kata MoF, pasaran minyak global masih berdepan ketidaktentuan apabila pemulihan bekalan tidak berlaku secara menyeluruh.

“Ketidaktentuan harga produk petroleum dijangka berterusan selagi konflik antara Amerika Syarikat dan Iran belum diselesaikan.

“Sebarang serangan baharu di Asia Barat berisiko memberi tekanan semula kepada harga minyak dan produk petroleum,” menurut kenyataan kementerian itu lagi.

Dalam pada itu, sebuah loji penapisan utama Rusia di Perm dilaporkan terpaksa menghentikan operasi susulan serangan dron Ukraine minggu lalu, yang berpotensi mengehadkan lagi bekalan diesel Rusia ke pasaran antarabangsa.

Kementerian itu berkata, pemulihan kapasiti penapisan global kekal penting bagi membantu meredakan tekanan terhadap harga bahan api dalam tempoh sederhana.

Bagi pengguna yang layak menerima subsidi bersasar, harga bahan api kekal pada kadar ditetapkan kerajaan. Penerima BUDI95 membayar RM1.99 seliter bagi RON95, manakala penerima BUDI Diesel membayar RM2.10 seliter.

Pada harga tanpa subsidi semasa, kerajaan menanggung subsidi RM2.53 seliter bagi RON95 BUDI95, bersamaan 56 peratus, manakala subsidi diesel BUDI Diesel ialah RM3.17 seliter atau 60 peratus.

Harga bersubsidi lain turut dikekalkan iaitu Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

Kerajaan MADANI turut mengingatkan rakyat supaya menggunakan bahan api secara berhemat meskipun bekalan dalam negara ketika ini berada pada tahap mencukupi, kata MoF.

Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan tidak perlu disifatkan dapat membantu mengurus penggunaan bahan api dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi kerajaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here