MAHKAMAH Rayuan telah mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM80,000 terhadap seorang bekas anggota polis berpangkat koperal yang disabitkan dengan kesalahan menerima suapan wang RM16,000.
Mahkamah turut memerintahkan Azrol Khalil, 41, menjalani hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid and Datuk Nadzarin Wok Nordin membuat keputusan sebulat suara itu selepas menolak rayuan Azrol terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 28 Sept yang dimuat naik di laman kehakiman, Mohd Radzi berkata Azrol gagal mematahkan anggapan perbuatan rasuah di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Beliau berkata keterangan jelas menunjukkan perayu telah menerima wang suapan itu untuk dirinya dan penerimaan tersebut mempunyai kaitan dengan kedudukan Azrol selaku pegawai badan awam bagi menutup satu kes jenayah komersial terhadap pengadu.
“Pengadu telah membuat pembayaran wang suapan RM16,000 itu sebagai dorongan untuk perayu dan atas kepercayaan kepada representasi perayu bahawa beliau boleh menyebabkan mana-mana pegawai berkuasa menutup kesnya,” kata hakim itu.
Mohd Radzi berkata mahkamah tidak boleh menerima pembelaan Azrol bahawa dia hanya pengutip wang bagi pihak pegawai atasan tanpa apa-apa kepentingan.
“Keterangan menunjukkan tindakan aktif perayu merundingkan jumlah yang patut dilunaskan oleh pengadu sehinggalah wang itu diterima dan dimasukkan ke dalam bajunya,” kata hakim berkenaan sambil menambah Azrol telah meminta dan menerima suapan itu bagi dirinya walaupun sebahagian wang tersebut mungkin diagihkan kepada pihak lain.
Azrol, 41, didakwa menerima suapan wang tunai RM16,000 daripada seorang lelaki berusia 54 tahun sebagai dorongan untuk menutup kes jenayah komersial terhadap individu yang sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Taman Prima Sri Gombak, Batu Caves, pada 7 Februari 2022.
Pada 27 Nov 2024, Mahkamah Sesyen mendapati Azrol bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM80,000 atau penjara setahun jika gagal membayar denda.
Pada 11 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Azrol dan mengekalkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.





