“Kita tolak PH, logo Pas pun boleh guna” – Abdul Hadi

PAS hari ini menegaskan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, selain bersedia menggunakan logo parti sekiranya lambang Perikatan Nasional (PN) tidak dapat digunakan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan mengenai pembahagian kerusi masih berlangsung secara harmoni bersama parti yang mempunyai kepentingan dalam menghadapi PRN berkenaan.

“Yang penting, Melaka ini ialah pimpinan Melayu Islam, pimpin negeri Melaka. Kita tolak Pakatan Harapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di Marang hari ini, lapor Sinar Harian.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 23 September lalu bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Abdul Hadi berkata, isu pembahagian kerusi tidak dijangka menjadi masalah besar kerana perkara itu masih dibincangkan secara muafakat.

Menurutnya, Pas juga belum memuktamadkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi kerana rundingan bersama rakan sekutu masih berjalan.

Mengulas kemungkinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) diteruskan dalam keadaan terdapat kekangan terhadap penggunaan logo PN, Abdul Hadi berkata Pas tidak mempunyai masalah untuk menggunakan logo sendiri.

“Logo Pas pun boleh guna, tak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata, perkara berkaitan penggunaan logo masih dalam penelitian pihak berkaitan.

Isu logo PN timbul susulan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung semua kegiatan PN melalui perintah di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) pada 24 September lalu.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi turut ditanya mengenai pendirian pimpinan BN negeri yang didakwa masih belum mempunyai keputusan muktamad berhubung kerjasama politik.

Beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan pihak berkenaan, namun mendakwa terdapat sokongan dalam kalangan akar umbi BN terhadap kerjasama dengan Pas.

“Memang saya dapati kebanyakan penyokong BN setuju dengan kerjasama bersama Pas… kalau BN nak minta kerjasama itu, kita setujulah, semuanya melalui perbincangan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here