JPJ Johor bongkar kenderaan warga asing berpindah tangan

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor membongkar kewujudan kenderaan digunakan warga asing yang berpindah tangan secara tidak rasmi tanpa proses pertukaran hak milik yang sah.

Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, perkara itu dikesan menerusi Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan sejak 1 Jun lalu.

Menurutnya, kira-kira 70 peratus kenderaan yang digunakan warga asing dipercayai dimiliki sendiri, manakala selebihnya disewa atau masih menggunakan nama pemilik asal.

“Kenderaan ini berpindah tangan secara tidak rasmi. Individu yang membeli kenderaan tersebut pada asalnya mungkin mempunyai pasport dan dokumen yang sah.

“Namun apabila mereka pulang ke negara asal atau meninggalkan Malaysia, kenderaan itu dijual kepada individu lain dan terus bertukar tangan beberapa kali sehingga pemilik berdaftar asal sukar dikesan,” katanya selepas Ops PeWA JPJ Johor di Bangunan JPJ Negeri Johor hari ii, lapor Sinar Harian.

Zulkarnain berkata, sebahagian besar motosikal dan kereta yang digunakan warga asing diperoleh menerusi transaksi tidak rasmi tanpa pertukaran hak milik yang direkodkan.

Katanya, kira-kira 30 peratus lagi kenderaan masih menggunakan nama pemilik asal atau melibatkan kenderaan yang disewa dan perkara itu masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata pemeriksaan mendapati ramai warga asing yang ditahan mempunyai rekod kesalahan berulang.

Katanya, tindakan sitaan dilaksanakan selain kes tertentu dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

Sepanjang Ops PeWA bermula 1 Jun lalu, sebanyak 3,072 notis saman dikeluarkan, selain 236 notis arah pemeriksaan dan 31 notis larangan penggunaan kenderaan.

“Kesalahan tertinggi dikesan ialah tidak memiliki lesen memandu membabitkan 788 kes, diikuti 693 kes cukai jalan tamat tempoh dan 528 kes kerana tiada perlindungan insurans,” katanya.

Menurutnya, jumlah itu hasil pemeriksaan terhadap 10,580 kenderaan sepanjang operasi berkenaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 347 motosikal, 69 kereta dan 24 kenderaan lain termasuk lori disita.

Zulkarnain berkata, operasi itu turut menyaksikan seramai 1,346 warga asing ditahan untuk tindakan lanjut.

“Daripada jumlah itu, 10 individu merupakan pemegang kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR),” katanya.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan jalan raya dan mengelakkan penyalahgunaan pemilikan kenderaan dalam kalangan warga asing.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here