PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kerja pemulihan kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi dipercepatkan supaya kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan sebagai perumahan.
Arahan itu disampaikan selepas beliau meninjau keadaan kuarters berkenaan hari ini, selain mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Tanah Sungai Besi, Tan Sri Mohd Hassan Marican, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
“Tinjauan dah. Saya dah minta Tan Sri Mohd Hassan dan juga Datuk Maimunah, Hannah Yeoh pun ada untuk menyegerakan pemulihan supaya kita boleh sediakan untuk rumah,” katanya, lapor Buletin TV3.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat projek Bandar Malaysia yang diselenggara KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP) di Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.
Kawasan berkenaan sebelum ini merupakan sebahagian daripada Pangkalan Udara Kuala Lumpur sebelum operasi pangkalan dipindahkan sepenuhnya ke Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan pada 2018.
Sementara itu, pembangunan tanah Rizab Melayu seluas 20.23 hektar atau 50 ekar yang terletak dalam kawasan Bandar Malaysia dirancang sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mewujudkan hab perniagaan antarabangsa.
Pembangunan tersebut turut memberi penekanan kepada konsep bandar yang seimbang dan inklusif, termasuk penyediaan kawasan kediaman berhampiran kemudahan masyarakat serta pembangunan bersepadu berteraskan Malaysia MADANI.
Ketua Development Sdn Bhd, Wan Shamilah Wan Muhammad Saidi berkata, projek pemulihan itu membabitkan dua blok pangsapuri bekas kuarters TUDM yang mempunyai 160 unit kediaman.
Menurutnya, keadaan struktur sedia ada masih baik dan sesuai untuk dipulihkan bagi tujuan perumahan.
“Baik pulih sebab telah sedia ada dekat kawasan ni dua blok apartment units yang dulu dipakai oleh TUDM. Jadi, keadaan dia masih elok, sesuai untuk kami baik pulih.
“Dekat sini ada dua blok, satu blok ada 80 unit. Jadi keseluruhannya 160 unit. Perancangan kami untuk apartment ini boleh diduduki tahun 2027. Kami dah mula kerja untuk baik pulih dan kalau tengok kawasan ni pun sudah kami bersihkan, sudah bermulalah,” katanya.





