JPJ gantung khidmat MYEG, Zetrix mulai 5 Oktober

PERKHIDMATAN MY E.G. Services Bhd (MYEG) dan Zetrix AI Bhd sebagai ejen pemungut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan digantung bermula 5 Oktober ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengambil kira aspek pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian serta beberapa obligasi dan tanggungjawab syarikat yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan.

“Selaras dengan keputusan itu, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG akan digantung mulai 5 Oktober 2026.

“JPJ memberi jaminan urusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa menerusi saluran rasmi dan alternatif yang disediakan.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, individu yang sudah membuat tempahan Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) melalui saluran MYEG sebelum tarikh penggantungan masih boleh meneruskan tempahan dan ujian berkenaan seperti biasa.

Bagi tempahan yang dibuat mulai 5 Oktober pula, JPJ memaklumkan urusan berkenaan perlu dilakukan melalui Pusat Ujian KPP yang disediakan di institut memandu di seluruh negara.

“Bagi tempahan baharu yang dibuat mulai 5 Oktober, urusan tempahan dan pelaksanaan ujian hendaklah dibuat melalui Pusat Ujian KPP yang disediakan di Institut Memandu di seluruh negara.

“Bagi pembayaran saman membabitkan bukan warganegara Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura pula, kemudahan pembayaran akan disediakan menerusi Unit Mobile JPJ yang ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.” katanya.

Menurutnya, kemudahan pembayaran berkenaan akan beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 10 malam.

JPJ turut memberi jaminan bahawa penggantungan tersebut tidak akan menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai kerana saluran rasmi dan alternatif akan terus disediakan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here