SEORANG lelaki warga asing dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh membabitkan sebuah rumah kongsi di kawasan kebun sayur Tanah Tinggi Lojing di Gua Musang petang ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 4.12 petang.
Susulan itu, katanya, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 92 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.30 petang sebelum pemeriksaan dan operasi mencari mangsa dijalankan.
“Terdapat runtuhan tanah dengan ketinggian 50 meter dari cerun,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula pada jam 5.54 petang dengan bantuan pihak polis.
Usaha mencari mangsa masih dijalankan.





