SEPASANG suami isteri maut manakala dua anak perempuan mereka cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Jalan Mersing berhampiran Felcra Berhad Sungai Kahang di Kluang petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang maut ialah Mislan Osman, 54, dan isterinya, Nor Azilah A Rahman, 49.
Dua anak perempuan pasangan berkenaan, Radiah, 28, dan Syahida, 24, turut mengalami kecederaan dalam nahas terbabit.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Jusoh Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.53 petang sebelum enam anggota bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, terdapat dua mangsa tersepit dalam kereta jenis Hyundai. Pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak menjalankan operasi menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa.
“Kedua-dua mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasangan yang maut itu kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut, manakala dua anak mangsa menerima rawatan susulan berikutan kecederaan yang dialami.




