Suami isteri maut dalam kemalangan dua buah kereta di Sibu

SEPASANG suami isteri maut selepas kereta Perodua Bezza dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Dudong, Kanowit-Julau, Sibu hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Julaihi Raduan, 52, dan isterinya, Marliza Salleh, 49.

Lima individu yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton terdiri daripada dua dewasa dan tiga kanak-kanak terselamat dengan seorang daripadanya mengalami kecederaan ringan,lapor Buletin TV3.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.15 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya kemudian dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi pada jam 4.22 petang, mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza dan Mitsubishi Triton. Dua mangsa yang berada di dalam Perodua Bezza dilaporkan tersepit serta tidak sedarkan diri di bahagian dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas (rescue tools) dan pengusung untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum mereka disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Sementara itu, pemandu Mitsubishi Triton, Tarmizi Lau Marikan, 45, bersama tiga kanak-kanak berusia empat, tujuh dan 10 tahun dilaporkan selamat.

“Seorang lagi penumpang wanita, Nurhidayah Sa’adi, 33, yang mengalami cedera ringan diberikan rawatan awal oleh pihak KKM di lokasi,” katanya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Jinny Lenggie dikawal pada jam 4.27 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.59 petang selepas lokasi dipastikan selamat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here