Campuran B15 bantu kurangkan penggunaan diesel petroleum 23.62 juta liter sebulan

PENGGUNAAN biodiesel B15 memberi kesan kepada pengurangan penggunaan diesel berasaskan petroleum sebanyak purata 23.62 juta liter setiap bulan bagi tempoh Jun hingga Ogos lalu.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelaksanaan campuran biodiesel itu turut membantu Malaysia mengurangkan pergantungan terhadap bahan api petroleum, selain menyokong usaha memperkukuh tahap keselamatan tenaga negara.

Beliau berkata, penggunaan biodiesel keluaran tempatan juga dapat memanjangkan tempoh bekalan diesel sedia ada, terutama ketika pasaran tenaga global berdepan ketidaktentuan.

“Penggunaan biodiesel tempatan turut mengurangkan pendedahan negara kepada turun naik harga diesel petroleum di pasaran global, khususnya ketika berlaku ketegangan geopolitik.

“Keadaan itu berpotensi membantu kerajaan menguruskan perbelanjaan subsidi diesel dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Aminuddin sebelum itu meminta penjelasan mengenai keberkesanan pelaksanaan B15 dalam mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap diesel petroleum yang terdedah kepada perubahan harga global susulan konflik geopolitik.

Mengulas kemungkinan meningkatkan kadar campuran biodiesel pada masa hadapan, Noraini berkata, kerajaan sememangnya bergerak ke arah penggunaan kadar adunan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun katanya, peningkatan berkenaan perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira tahap kesiapsiagaan negara, termasuk keperluan untuk menambah baik infrastruktur dan logistik berkaitan.

Beliau menambah, kerajaan turut mengambil kira beberapa faktor lain dalam menentukan kadar adunan biodiesel, termasuk perkembangan harga komoditi, kesan terhadap peruntukan subsidi serta aspek kelestarian alam sekitar.

Pada masa sama, kata Noraini, pelaksanaan biodiesel pada kadar lebih tinggi berpotensi menyumbang kepada usaha mengurangkan pelepasan gas rumah kaca, selaras dengan agenda kelestarian negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here