GABUNGAN Perikatan Nasional (PN) memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar notis yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap gabungan berkenaan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, permohonan itu membabitkan lima pemohon yang terdiri daripada Setiausaha Agung parti-parti anggota PN.
Beliau berkata, dua pihak dinamakan sebagai responden turut disaman dalam permohonan itu iaitu Pendaftar RoS, Datuk Muhammad Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Permohonan itu adalah membabitkan beberapa yang disebut sebagai perintah ‘certiorari’ iaitu untuk membatalkan notis yang dikeluarkan oleh RoS terhadap PN.
“Pertamanya ialah notis bertarikh 22 September di bawah Seksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 yang meminta PN memberi penjelasan kepada RoS supaya cadangan membatalkan PN tidak boleh dibuat.
“Kedua ialah PN juga meminta satu deklarasi bahawa notis di bawah Seksyen 13(2A untuk menggantung semua kegiatan PN sehingga tarikh yang diberitahu,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini, lapor BH.
Media pada 23 September lalu melaporkan, RoS menggantung semua kegiatan PN di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.
Tindakan itu susulan notis di bawah subseksyen 13(2) Akta berkenaan bertarikh 22 September, yang memberi tempoh munasabah kepada PN untuk memberikan penjelasan berhubung aduan yang dilaporkan Bersatu.
Takiyuddin dalam pada itu berkata, PN turut memfailkan Perakuan Segera (Certificate of Urgency) supaya mahkamah mendengar kes ini berhubung kedudukan dan status gabungan itu sebagai sebuah gabungan politik berdaftar.
“PN turut memohon penjelasan rasmi daripada RoS sama ada gabungan ini mempunyai hak dan kelayakan mengemukakan calon serta bertanding dalam pilihan raya, khususnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang.
“PN juga minta supaya diperjelaskan secara rasmi berhubung dengan apakah aduan yang dibuat oleh Bersatu kerana PN hanya mendengar dalam media sahaja, sedangkan Bersatu adalah sebahagian daripada PN,” katanya.





