PENGGUNAAN biodiesel B15 bermula 1 Jun depan tidak akan menjejaskan eksport minyak sawit negara susulan Malaysia masih mempunyai lebihan bekalan untuk kegunaan domestik.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, , langkah menaikkan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 dibuat secara terancang selepas mengambil kira kesiapsiagaan industri, bekalan serta infrastruktur sedia ada.
Katanya, kerajaan telah membuat analisis terperinci sebelum melaksanakan dasar tersebut bagi memastikan keseimbangan antara penggunaan tempatan dan pasaran eksport terus terpelihara.

Ketika ini menurut beliau, Malaysia menghasilkan kira-kira 20 juta tan metrik minyak sawit setahun dengan sebanyak 16 juta tan dieksport ke luar negara.
“Maknanya kita masih mempunyai lebihan sekitar empat juta tan untuk kegunaan dalam negara.
“Daripada jumlah itu, sekiranya kita menggunakan B15, keperluannya hanya sekitar 0.8 juta tan, maksudnya, ia tidak akan mengganggu jumlah eksport ke luar negara,” katanya ketika ditemui selepas Taklimat Media Pelaksanaan Biodiesel B15: Langkah Baharu Industri Hijau Negara di Putrajaya hari ini.
Pada majlis itu, wakil media diberi penerangan mengenai pelaksanaan biodiesel B15 oleh Setiausaha Bahagian Biojisim dan Biobahan Api Kementerian Perladangan dan Komoditi, Dr Sang Yew Ngin.
Menurut Noraini, biodiesel B15 dipilih sebagai kadar adunan paling sesuai ketika ini selepas sesi libat urus bersama pemain industri, yang mendapati ia boleh dilaksanakan tanpa menaik taraf besar kemudahan sedia ada.
Langkah itu juga dijangka meningkatkan permintaan minyak sawit tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada diesel fosil import, selari dengan usaha peralihan kepada tenaga lebih bersih.
Kata beliau, pelaksanaan mandat kerajaan tersebut dibuat secara berperingkat seperti yang telah diputuskan oleh Kabinet dan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“Tinggal beberapa hari sahaja lagi, insya-Allah biodiesel B15 boleh diperoleh di stesen minyak,” jelas beliau.
Sebelum ini, kerajaan pada 14 April bersetuju menaikkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 sebagai langkah mengurus bekalan diesel negara susulan krisis di Asia Barat.
Biodiesel B15 adalah bahan api diesel daripada campuran 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dan 85 peratus diesel petroleum, dilaksanakan untuk mengurangkan kebergantungan import bahan api dan menstabilkan bekalan tenaga negara.
Noraini dalam pada itu memaklumkan, beberapa kawasan di negara ini telah lebih awal menggunakan biodiesel B20 termasuk di Sarawak, Sabah, Labuan dan Langkawi.
“Ada beberapa tempat seperti di Sarawak yang memang sudah menggunakan B20 kecuali Bintulu. Di Semenanjung pula, Langkawi sudah menggunakan B20, begitu juga di Sabah dan Labuan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM42 juta bagi fasa pertama kerja naik taraf kemudahan berkaitan pelaksanaan B20 khususnya di Sarawak.
Katanya, kementerian kini sedang memohon tambahan peruntukan bagi melaksanakan fasa kedua naik taraf infrastruktur tersebut termasuk melibatkan Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT).
“Kita fokuskan terutamanya di KVDT sebagai antara tempat yang kita hendak naik taraf sekiranya peruntukan itu diluluskan,” jelasnya.
Program Biodiesel Negara diperkenalkan sejak 2011 menerusi pelaksanaan B5 bagi sektor pengangkutan terus berkembang dengan pengenalan B7 pada 2014, sebelum mandat B10 dan B20 diperluaskan secara berperingkat antara 2019 hingga 2020.
Di bawah pelaksanaan itu, biodiesel B10 digunakan bagi sektor pengangkutan dengan kandungan 10 peratus Palm Methyl Ester (PME) dan 90 peratus diesel petroleum, manakala biodiesel B20 pula mengandungi 20 peratus PME dan 80 peratus diesel petroleum.
Bagi sektor industri pula, penggunaan biodiesel B7 melibatkan campuran tujuh peratus PME dan 93 peratus diesel petroleum.
Kerajaan kini menyasarkan pelaksanaan mandat B30 bagi sektor pengangkutan darat menjelang 2030, selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara, Dasar Tenaga Negara serta aspirasi peralihan tenaga dan pembangunan rendah karbon negara.
Peningkatan penggunaan biodiesel turut dijangka meningkatkan penggunaan minyak sawit mentah (CPO) domestik, dengan anggaran penggunaan sebanyak 0.801 juta tan metrik setahun bagi pelaksanaan B15 berbanding 0.534 juta tan metrik setahun di bawah B10.
Bagi pelaksanaan B20 pula, penggunaan CPO dianggarkan mencecah 1.068 juta tan metrik setahun, sekali gus membantu menstabilkan permintaan domestik minyak sawit serta menyokong pendapatan pekebun kecil dan pemain industri sawit negara.


