SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Parlimen Petaling Jaya susulan peletakan jawatan penyandangnya, Lee Chean Chung pada Jumaat lalu.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan itu susulan pemakluman rasmi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang memaklumkan bahawa kekosongan luar jangka bagi kerusi berkenaan tidak perlu diisi.
Beliau berkata, pemakluman itu diterima SPR menerusi surat bertarikh 2 Oktober 2026 dan dibuat berdasarkan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan kepada Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang Dipertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.
“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil Bahagian Pilihan Raya Parlimen P 105 Petaling Jaya akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Keputusan berkenaan menjadikan Petaling Jaya sebagai kerusi Parlimen keempat dalam penggal semasa yang dikosongkan tanpa diikuti PRK.
Sebelum ini, SPR pada 20 Mei mengesahkan tiada PRK bagi Parlimen Pandan dan Setiawangsa selepas penyandang masing-masing, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi berkenaan.
Pada Ogos lalu, keputusan sama turut dibuat bagi Parlimen Subang selepas penyandangnya, Wong Chen, melepaskan jawatan.
Chean Chung, 45, pula mengosongkan kerusi Parlimen Petaling Jaya tanpa syarat selepas keahliannya dalam PKR digantung selama tiga tahun.
Beliau menerima keputusan penggantungan tersebut pada 30 September 2026.
Sebelum ini, Chean Chung mendakwa akses terhadap peruntukan kawasan Petaling Jaya telah disekat, selain mendakwa pengurusan peruntukan berkenaan diambil alih menerusi proses yang tidak telus.





