Kehilangan Fiya tinggalkan kesan mendalam buat keluarga

KEHILANGAN Irene Sofiya Mohd Kharool Faisal atau lebih mesra dipanggil Fiya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarganya, terutama datuknya, Khyar Abas, 69.

Khyar berkata, rutin harian bersama cucu kesayangannya itu masih segar dalam ingatan, termasuk kebiasaan Fiya bersalaman dengannya sebelum pergi ke sekolah setiap pagi.

“Apa salah cucu saya sehingga dia diperlakukan sedemikian? Apa salah cucu saya?” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di rumahnya di Kampung Parit Selamat di Yong Peng hari ini, lapor BH.

Khyar berkata, meskipun menyedari Irene Sofiya tidak mungkin kembali, kehilangan itu tetap meninggalkan kesedihan mendalam buat dirinya dan seluruh keluarga.

Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut. Bagilah balasan yang setimpal kepada mereka yang melakukan perbuatan ini.

“Kita mahu tindakan ini diambil bukan untuk saya atau keluarga, tetapi sebagai pengajaran supaya ia tidak berulang ke atas orang lain,” katanya.

Menurut Khyar, pagi ini perasaan seolah-olah masih menanti kepulangan Fiya kembali bermain di fikirannya selepas solat Subuh.

“Pagi tadi selepas solat Subuh, perasaan saya seolah-olah Fiya masih ada. Hati saya sebak dan menangis kerana saya terbayang Fiya masuk bilik mahu bersalam dengan saya.

“Saya rindu dia, terutama setiap kali mahu ke sekolah. Pagi tadi, baru saya sedar, Fiya sudah tiada dan sebab itulah saya kena kuat untuk hadapi dugaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri bersedia membantu meningkatkan aspek keselamatan di sekolah termasuk mempertimbangkan keperluan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata, langkah berkenaan perlu diberi perhatian bagi memastikan keselamatan murid lebih terjamin dan kejadian seumpama yang menimpa pelajar Tingkatan Empat itu dapat dielakkan.

“Kita semua sedar dari segi apa yang boleh kita bantu di peringkat kerajaan negeri, kita akan bantu. Namun, ada ribuan sekolah di Johor dan puluhan ribu sekolah di negara ini dan ini di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Sebab itu saya rasa perkara ini perlu dilihat dengan lebih teliti oleh kementerian. Saya akan berhubung dengan pihak kementerian,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here