Proses pengundian awal PRN Johor selesai

PENGUNDIAN awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 membabitkan anggota pasukan keselamatan dan pasangan berakhir hari ini, selepas kesemua 62 pusat mengundi awal ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang.

Pusat mengundi yang mula dibuka seawal jam 8 pagi tadi ditutup secara berperingkat mengikut kawasan serta jumlah pemilih berdaftar yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Terdahulu, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang media di Dewan Mahkota, Kem Mahkota di Kluang memaklumkan, sebanyak 29 pusat mengundi awal mula ditutup pada jam 12 tengah hari.

Selain itu, lima pusat mengundi awal ditutup pada jam 2 petang dan baki 28 lagi ditutup pada jam 5 petang.

Pengundian awal hari ini melibatkan 20,607 pengundi yang terdiri daripada 8,544 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 12,063 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan (PGA) dengan pasangan masing-masing.

Setakat jam 3 petang, SPR merekodkan sebanyak 19,136 atau 92.86 peratus pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi pada pengundian awal PRN Johor hari ini ialah 96 peratus.

Semua peti undi awal akan disimpan di balai polis sebelum proses penjumlahan rasmi undi dijalankan pada hari pengundian biasa, Sabtu ini.

PRN Johor kali ini melibatkan sebanyak 2,727,926 pemilih layak mengundi di 1,140 pusat mengundi.

Secara keseluruhan, PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img