SEORANG pekerja gudang syarikat e-dagang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan selepas motosikal ditungganginya melanggar dua peserta Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM), Sabtu lalu.
Muhammad Saiful Sabinee, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal dalam keadaan dipengaruhi alkohol melebihi had ditetapkan dengan bacaan 184 miligram bagi setiap 100 mililiter darah.
Dia juga didakwa menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Mazni Lamin, 50, dan Azwan Ibrahim, 41.
Kejadian itu berlaku di Jalan Munshi berhampiran sebuah gedung pakaian di ibu negara kira-kira jam 6.14 pagi pada 3 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisyia Mohd Razib mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Muhammad Saiful memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan mengambil kira keadaan kewangan anak guamnya.
Mahkamah dimaklumkan tertuduh tidak mempunyai lesen memandu, selain hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan dan perlu menanggung empat adik-beradiknya yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Saiful diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Januari depan bagi tujuan penyerahan dokumen.
Sebelum ini, tular rakaman video menunjukkan dua peserta KLSCM terbaring di atas jalan selepas dilanggar sebuah motosikal tular dalam media sosial.
Berdasarkan laporan kejadian itu, penunggang motosikal terbabit dipercayai memasuki laluan yang telah ditutup menggunakan kon sebelum cuba melarikan diri dengan menunggang melawan arus selepas diarahkan berhenti oleh anggota bertugas.
Kedua-dua peserta terbabit kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.
Peserta lelaki dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian leher, manakala peserta wanita mengalami kecederaan pada lutut kanan dan tangan.





