‘Mat rempit’ bakal berdepan hukuman penjara mulai 1 November

INDIVIDU yang terbabit dalam kegiatan samseng jalanan atau ‘mat rempit’ bakal berdepan hukuman lebih berat termasuk penjara apabila pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) mula dikuatkuasakan pada 1 November ini.

Pindaan berkenaan dijangka memperkukuh kuasa penguatkuasaan terhadap perlumbaan haram dan aksi menunggang secara berbahaya, sekali gus memberi ruang kepada pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap pesalah.

DATUK Muhammad Kifli Ma Hassan

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pindaan Akta 333 itu sudah diluluskan Parlimen dan kini hanya menunggu proses pewartaan.

“Pindaan terhadap Akta 333 sudah diluluskan Parlimen dan jika semuanya berjalan lancar, ia akan dikuatkuasakan mulai 1 November.

“Kita akan mengenakan hukuman yang jauh lebih berat, termasuk hukuman penjara, terhadap kesalahan ‘mat rempit’,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, pindaan di bawah Seksyen 42(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 turut memudahkan pegawai penyiasat mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan kesalahan berkenaan.

Menurutnya, JPJ kini masih menunggu pandangan Jabatan Peguam Negara sebelum proses pewartaan pindaan itu diselesaikan.

Muhammad Kifli memberitahu, kegiatan ‘mat rempit’ merupakan isu yang membimbangkan di peringkat nasional dan memerlukan penguatkuasaan secara berterusan oleh agensi berkaitan.

Katanya, kejadian berulang membabitkan kumpulan ‘mat rempit’ di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu turut akan ditangani menerusi kerjasama lebih erat antara JPJ dan polis.

“Isu mat rempit di lapangan terbang Kota Bharu adalah masalah yang berulang dan JPJ akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya.

Beliau berkata, pindaan terbaharu Akta 333 itu antara lain bertujuan memperkukuh peruntukan undang-undang berkaitan perlumbaan haram, samseng jalanan serta kesalahan pemanduan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Pindaan berkenaan juga dijangka memberikan asas perundangan lebih kukuh kepada agensi penguat kuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti pemanduan berbahaya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here