KERAJAAN perlu memperkukuh penguatkuasaan terhadap sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran bagi memastikan kepentingan rakyat serta perancangan pembangunan negara tidak terjejas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurusan tanah juga perlu dilaksanakan secara terancang dan bertanggungjawab dengan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar, khususnya dalam menghadapi kesan perubahan iklim.

“Tatkala kita mendepani kesan perubahan iklim, urus tadbir tanah tidak boleh lagi hanya tertumpu kepada keuntungan ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata.
“Pengurusan tanah mesti dilaksanakan secara berhemah dan terancang bagi meminimumkan risiko terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83 hari ini.

Anwar berkata, amalan tata kelola yang baik perlu terus dipertahankan dan isu berkaitan pengurusan tanah tidak wajar dipandang ringan.
Menurutnya, sebarang kebimbangan atau isu yang dibangkitkan pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) perlu diberikan perhatian segera.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan maklumat berkaitan isu tanah dapat disampaikan kepada masyarakat secara tepat, telus dan berkesan.
Menurutnya lagi, Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap inisiatif berkaitan pengurusan tanah dilaksanakan secara bertanggungjawab demi kepentingan serta manfaat rakyat secara keseluruhannya.





